PENGGUNA APLIKASI PAHANG GO EWALLET
Perkhidmatan ini (yang didefiniskan selepas ini) disediakan oleh Pahang Go Sdn Bhd, No. Pendaftaran: 1319657-K (“PGO”) dan Finexus Cards Sdn. Bhd., No. Pendaftaran: 706720-U adalah pengeluar wang elektronik diluluskan oleh bank tertakluk kepada Terma-terma dan Syarat- syarat di dalam ini (“Terma-terma dan Syarat-syarat”). Anda mengakui bahawa anda telah membaca dan memahami sepenuhnya Terma-terma dan Syarat-syarat ini sebelum anda mengakses dan menggunakan Perkhidmatan ini.
Dengan mengaktifkan dan menggunakan Perkhidmatan ini, anda telah menerima, tanpa syarat, Terma-terma dan Syarat-syarat tersebut yang mungkin dipinda oleh PGO dari masa ke semasa. Jika anda tidak bersetuju dengan Terma-terma dan Syarat-syarat ini, sila jangan teruskan dengan proses pendaftaran atau Pengaktifan.
DEFINISI-DEFINISI
Untuk tujuan kesemua Terma dan Syarat tersebut, terma-terma berikut mempunyai makna sebagaimana yang didefinisikan di bawah:-
"Wallet Bucket" merujuk kepada satu kumpulan dana di dalam eWallet PGO yang berasal daripada bantuan atau peruntukan kerajaan atau sumber lain yang ditentukan oleh PGO. Dana ini dikhususkan untuk tujuan tertentu dan tertakluk kepada syarat, had, tempoh penggunaan serta peraturan lain yang ditetapkan oleh pihak pemberi bantuan dan/atau PGO;
"Akaun" bermaksud akaun yang dibuka dengan PGO semasa anda mendaftar untuk Perkhidmatan tersebut;
“Had Akaun” bermaksud had maksimum bagi Akaun tersebut berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Ribu (RM3,000.00) Sahaja atau Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu (RM10,000.00) sahaja, yang mana berkenaan. PGO berhak untuk menyemak semula Had Akaun tersebut;
“Pengaktifan” bermaksud pada masa dimana Perkhidmatan tersebut diaktifkan dalam Sistem Pembayaran Mudah Alih;
“AMLATFPUAA” bermaksud Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 termasuklah undang-undang subsidiari, garis panduan, polisi dan mana-mana dokumen yang serupa dengannnya yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa persekutuan atau tempatan yang berkenaan dan peruntukan undang-undang merangkumi statut-statut dan peruntukan-peruntukan sepertimana yang diubahsuai, disahkan semula atau digubal semula;
“Baki Sedia Ada” bermaksud jumlah wang dalam kredit di Akaun anda, yang
tersedia untuk anda digunakan tertakluk kepada Had Akaun dan Had Urus Niaga yang dikenakan di sini;
“Bank" bermaksud Bank yang telah diberikuasa dan dilantik oleh PGO untuk bertindak sebagai ejen kiriman wang bagi Perkhidmatan ini;
“CSA” bermaksud ejen perkhidmatan pelanggan PGO yang boleh dihubungi di +609-573 0492;
“Pengesahan (eKYC)” bermaksud suatu proses elektronik untuk mengesahkan
identiti pengguna dengan mengesahkan butiran peribadi pengguna;
“Pengesahan Biometrik Peranti” bermaksud ciri PahangGO eWallet yang membolehkan penggunaan modul pengesahan biometrik Peranti Mudah Alih, seperti tetapi tidak terhad kepada, ID muka atau ID cap jari, untuk melaksanakan pengesahan identiti anda sebagai pengganti kaedah pengesahan lain;
“Pengesahan Muka”
bermaksud teknologi pengecaman wajah dan pengesahan yang boleh digunakan untuk menggantikan kaedah pengesahan lain;
“Produk Kewangan” bermaksud sebarang produk kewangan termasuk perlindungan insurans dan takaful;
“Peranti Terpaut” bermaksud Peranti Mudah Alih yang dipautkan kepada Akaun anda yang akan digunakan untuk ciri KayaSecure dan sebarang ciri atau langkah keselamatan lain yang mungkin dilaksanakan dari semasa ke semasa. Anda hanya boleh mempunyai satu (1) Peranti Mudah Alih yang dipautkan ke Akaun anda pada satu-satu masa dan anda boleh menukar Peranti Mudah Alih anda yang dipautkan mengikut cara yang ditetapkan oleh PGO dari semasa ke semasa;
“Sistem Pembayaran Mudah Alih” bermaksud sistem yang digunakan oleh PGO untuk menyediakan Perkhidmatan tersebut termasuklah sistem platform pembayaran yang ditugaskan oleh PGO untuk memudahkan pembayaran barangan dan perkhidmatan;
“Perkhidmatan Peniaga” bermaksud ciri dwi dalam PahangGO eWallet yang membolehkan peniaga QR statik mengesan transaksi penjualan dan rekod sejarah dan seterusnya membenarkan kakitangan terpilih mengakses maklumat tersebut;
"PahangGO eWallet” bermaksud aplikasi perisian (“software”) yang beroperasi pada Peranti Mudah Alih;
“Peranti Mudah Alih” bermaksud peranti pengkomputeran mudah alih seperti smartphone atau tablet yang digunakan untuk Perkhidmatan tersebut;
“Pemindahan Wang” bermaksud ciri dalam PahangGO eWallet yang membolehkan pemindahan wang daripada satu akaun PahangGO eWallet kepada akaun PahangGO eWallet lain;
“Maklumat / Data Peribadi” bermaksud maklumat/data anda yang dikumpulkan oleh
PGO untuk menyediakan Perkhidmatan tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang termasuk tetapi tidak terhad kepada nama anda, butir-butir alamat, nombor telefon dan lain-lain;
“Produk Premium” bermaksud produk-produk berikut di PahangGO eWallet:
- Parking
- GovPay
- Hakmilik
- Zakat
- Pendidikan
- Bil Utiliti
- Mudah Alih
- Wakaf Pahang
- Merchandise
- Permainan
- Produk-produk lain yang ditentukan oleh PGO dari semasa ke semasa
"Tambah Nilai" bermaksud penambahan wang dalam Akaun tersebut (tertakluk kepada Had Akaun) melalui saluran-saluran tersedia untuk membolehkan anda menggunakan Perkhidmatan tersebut;
“Runcit” bermaksud pembayaran untuk pembelian barangan- barangan dan/atau perkhidmatan-perkhidmatan melalui laman web dalam talian (e-dagang), aplikasi-aplikasi mudah alih, kod QR statik, pembayaran pada terminal-terminal jualan (POS), dan apa-apa kaedah pembayaran lain untuk barangan dan/atau perkhidmatan yang disediakan oleh peniaga tempatan atau luar negara;
“Perkhidmatan” bermaksud penyediaan Akaun tersebut dan membolehkannya melakukan Transaksi;
“KayaSecure” bermaksud kaedah pengesahan menggunakan Peranti Terpaut anda untuk "Meluluskan" atau "Menolak" Transaksi tertentu yang merupakan tambahan dan/atau boleh digunakan untuk menggantikan kaedah pengesahan lain. Untuk mengelakkan keraguan, jika aplikasi mudah alih PahangGO eWallet anda dipadamkan atau Akaun anda dilog keluar pada Peranti Terpaut anda, anda tidak akan dapat menggunakan kaedah pengesahan KayaSecure dan dalam keadaan tertentu, anda mungkin tidak dapat teruskan dengan transaksi anda;
“Terma-terma dan Syarat-syarat” bermaksud terma-terma dan syarat-syarat disini untuk Perkhidmatan tersebut sebagaimana yang mungkin diubah atau diubahsuai dari semasa ke semasa mengikut budi bicara mutlak PGO;
“PGO” bermaksud Pahang Go Sdn. Bhd. (No. Syarikat 1319657-K);
“Transaksi” bermaksud sebarang transaksi yang dilakukan oleh anda melalui PahangGO eWallet termasuk tetapi tidak terhad kepada Runcit, Pemindahan Wang, Produk Kewangan dan/atau Pengangkutan;
“Had Transaksi" bermaksud had transaksi selaras dengan Klausa 1.5 disini;
“Hari Bekerja”
bermaksud satu hari selain daripada (a) hari Sabtu dan Ahad; dan (b) mana-mana hari yang diisytiharkan sebagai cuti umum oleh kerajaan dan kerajaan negeri;
1. PENGGUNAAN PERKHIDMATAN
(A) Akaun tersebut
1.1 Perkhidmatan tersebut disediakan kepada anda oleh PGO atas budi bicara tunggal dan mutlaknya untuk membolehkan anda melakukan Transaksi-transaksi tersebut.
1.2 Untuk menggunakan Perkhidmatan tersebut, anda perlu memuat turun aplikasi PahangGO eWallet ke dalam Peranti Mudah Alih anda, membuka Akaun dengan PGO, dan berjaya melengkapkan proses Pengesahan Akaun (eKYC). Setelah Akaun tersebut dibuka dan proses Pengesahan Akaun (eKYC) berjaya dilengkapkan, anda akan mempunyai Had Akaun sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh Puluh Ribu (RM10,000.00) sahaja, atau apa-apa jumlah lain yang mungkin ditentukan oleh PGO dari semasa ke semasa atas budi bicara tunggal dan mutlaknya.
1.3 Anda dengan ini mengakui bahawa dengan melengkapkan proses Pengesahan Akaun (eKYC), PGO boleh menggunakan Maklumat / Data Peribadi anda yang berkenaan untuk tujuan verifikasi dan/atau pengesahan identiti. Walaupun anda berjaya melengkapkan proses Pengesahan Akaun (eKYC), PGO boleh, pada bila-bila
masa, memerlukan anda untuk melengkapkan semula proses Pengesahan Akaun (eKYC) disebabkan apa-apa sebab.
1.4 Sekiranya terdapat sebarang masalah dengan fungsi eKYC, sila hubungi CSA untuk mendapatkan bantuan.
1.5 Amaun minimum mungkin dikenakan untuk Tambah Nilai menggunakan DuitNow OBW dan/atau kaedah lain yang ditetapkan oleh PGO dari semasa ke semasa.
1.6 Anda dengan ini bersetuju bahawa apa-apa dan semua Tambah Nilai adalah dari (1) sumber dana peribadi anda sendiri atau anda mempunyai semua kuasa dan kebenaran sah untuk menggunakan dana tersebut, dan (2) dana tersebut tidak haram.
1.7 Baki eWallet Bucket Tidak Boleh Dihantar bermaksud sumber dana dari bantuan kerajaan, dan/atau sumber-sumber lain yang mungkin ditentukan oleh PGO dari semasa ke semasa. Baki eWallet Bucket Tidak Boleh Dihantar tidak boleh digunakan untuk Pemindahan Wang, pemindahan ke akaun luaran (akaun bank atau e-dompet lain), dan/atau produk atau perkhidmatan lain yang mungkin ditentukan oleh PGO dari semasa ke semasa.
1.8 Sekiranya mana-mana peniaga terpilih memberi pilihan bayaran balik berkaitan pembayaran untuk mana-mana pembelian barang-barang dan/atau perkhidmatan sejajar dengan dasar perkhidmatan selepas jualan peniaga tersebut, maka bayaran balik sedemikian akan tertakluk kepada yang berikut:
- Proses pembayaran balik adalah tertakluk kepada dasar bayaran balik peniaga dan apa-apa terma dan syarat yang dikenakan ke atas bayaran balik sedemikian;
- Akaun anda adalah aktif; dan
- Sekiranya baki Akaun anda akan melebihi Had Akaun anda setelah proses pembayaran balik selesai, maka proses pembayaran balik tersebut akan gagal secara automatik. Anda dikehendaki menggunakan kaedah bayaran balik berbeza atau melalui proses lain dari peniaga.
1.9 Dengan mengaktifkan ciri Pengesahan Muka, anda dengan ini memberi kuasa dan bersetuju bahawa sebarang arahan atau penggunaan PahangGO eWallet yang disahkan oleh ciri Pengesahan Muka adalah sah dan terikat dan PGO tidak akan diwajibkan untuk meminta pengesahan bentuk lain. PGO akan menyimpan salinan butiran biometrik anda yang mungkin diperlukan untuk penggunaan ciri Pengesahan Muka. Anda seterusnya mengakui bahawa anda tidak akan mendaftarkan butiran biometrik individu lain untuk tujuan Pengesahan Muka dan sekiranya anda mendaftarkan biometrik individu lain, PGO akan menganggap semua transaksi yang disahkan dengan Pengesahan Muka sebagai sah dan terikat.
1.10 Dengan mengaktifkan ciri Pengesahan Biometrik Peranti, anda dengan ini memberi kuasa dan bersetuju seperti berikut:
- bahawa sebarang arahan atau penggunaan PahangGO eWallet yang disahkan oleh ciri Pengesahan Biometrik Peranti adalah sah dan terikat dan PGO tidak akan diwajibkan untuk minta pengesahan bentuk lain;
- bahawa PGO berhak untuk menganggap bahawa anda adalah individu yang mengesahkan sebarang arahan atau penggunaan PahangGO eWallet yang telah disahkan menggunakan ciri Pengesahan Biometrik Peranti;
- bahawa ciri Pengesahan Biometrik Peranti dilakukan oleh Peranti Mudah Alih di mana Akaun anda dilog masuk menggunakan modul pengesahan biometrik Peranti Mudah Alih;
- bahawa modul pengesahan biometrik Peranti Mudah Alih tidak disediakan oleh PGO dan PGO tidak membuat sebarang jenis representasi atau jaminan dengan apa cara sekalipun, termasuk tetapi tidak terhad, kepada kefungsian atau keselamatan modul pengesahan biometrik tersebut; dan
- Anda selanjutnya mengakui bahawa anda tidak akan mendaftarkan butiran biometrik mana-mana individu lain untuk tujuan Pengesahan Biometrik Peranti dan sekiranya anda mendaftarkan biometrik individu lain, PGO akan menganggap semua transaksi yang disahkan dengan Pengesahan Biometrik Peranti sebagai sah dan terikat.
1.11 Anda mengakui bahawa untuk tujuan keselamatan, PGO boleh memerlukan anda untuk memberi verifikasi dan/atau pengesahan tambahan dengan apa-apa cara yang boleh ditentukan oleh PGO termasuk tetapi tidak terhad kepada Pengesahan Muka atau KayaSecure.
1.12 Akaun anda membenarkan penggunaan fungsi-fungsi yang terdapat di aplikasi PahangGO eWallet. Sila maklum bahawa penggunaan Akaun anda dan Perkhidmatan tersebut tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang berkenaan untuk setiap fungsi-fungsi tersebut.
1.13 Anda hendaklah memberikan maklumat yang tepat dan lengkap kepada PGO dan memaklumkan PGO serta-merta berkenaan dengan sebarang perubahan kepada mana- mana butiran Maklumat/Data Peribadi anda yang diberikan. Sekiranya anda ingin mengemaskini dan/atau mengubah mana- mana butiran Maklumat/Data Peribadi anda, sila hubungi pihak CSA kami. Anda dengan ini mengakui bahawa nama, alamat e-mel dan nombor telefon anda dan apa jua maklumat peribadi lain yang telah anda berikan boleh diberikan oleh PGO kepada pihak ketiga atau Bank lain untuk tujuan verifikasi atau tujuan-tujuan lain yang sah.
1.14 Anda hanya berhak miliki satu (1) Akaun. Anda dikehendaki mendaftar Akaun anda pada peranti anda sendiri. Untuk mengelakkan keraguan, setiap nombor mudah alih dan alamat emel hanya boleh digunakan untuk satu (1) Akaun.
1.15 Anda tidak boleh melakukan sebarang penipuan semasa mendaftar untuk Akaun tersebut. Sekiranya PGO mendapati bahawa anda menyamar sebagai orang lain, sama ada individu atau entiti undang-undang lain, PGO boleh menamatkan Akaun tersebut serta- merta dan melaporkan aktiviti penipuan itu kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
1.16 Anda hendaklah pada setiap masa bertanggungjawab sepenuhnya untuk merahsiakan dan melindungi maklumat Akaun anda. Anda tidak boleh mendedahkan dan/atau kongsi maklumat log masuk, butiran pengesahan dan/atau maklumat keselamatan kepada sesiapapun. Sekiranya anda telah salah memasukkan maklumat seperti yang diperlukan, ia boleh mengakibatkan akses kepada PahangGO eWallet anda digantung. Untuk mengaktifkan semula akses PahangGO eWallet anda, sila hubungi pihak CSA kami. Anda hendaklah bertanggungjawab dan menanggung rugi sepenuhnya terhadap apa jua penggunaan dan penyalahgunaan Akaun anda dan semua aktiviti-aktiviti yang berlaku dibawah Akaun anda. Anda hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan bahawa Peranti Terpaut anda tidak digunakan dan/atau diakses oleh sesiapa supaya melindungi KayaSecure anda.
1.17 Akaun tersebut tidak boleh dipindah milik atau diserahhak kepada mana-mana pihak ketiga dan hendaklah digunakan secara eksklusif oleh anda. Akaun tersebut tidak boleh dicagarkan atau digunakan dalam apa jua cara sekalipun oleh anda sebagai sebarang bentuk instrumen jaminan untuk sebarang tujuan.
1.18 Anda boleh menambah nilai Akaun tersebut anda apabila Baki Sedia Ada anda berkurangan daripada Had Akaun dan anda boleh pada bila-bila masa menggunakan Perkhidmatan tersebut tertakluk kepada Baki Sedia Ada anda dan sehingga Had Transaksi. Pengenaan Had Akaun dan Had Transaksi adalah untuk mengelakkan sebarang penipuan dalam Transaksi, Transaksi yang menyalahi undang-undang atau Transaksi yang tidak sah termasuk tetapi tidak terhad kepada perlanggaran peraturan-peraturan dan garis-garis panduan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan AMLATFPUAA.
1.19 Dengan mendaftarkan Akaun tersebut, anda membenarkan PGO untuk bergantung dan mengambil tindakan keatas semua komunikasi dan arahan yang diberikan oleh anda. Transaksi-transaksi tersebut tidak semestinya dibuat secara serentak dengan sebarang arahan yang diberikan pada bila-bila masa. Walaupun Akaun dan/atau Perkhidmatan tersebut boleh diakses di luar waktu Hari Bekerja, arahan tertentu hanya boleh diproses pada Hari Bekerja.
1.20 Rekod kesemua Transaksi yang disahkan melalui kaedah yang ditetapkan adalah terikat dan menjadi bukti yang konklusif untuk Transaksi anda. Sebarang maklumat, arahan, kelulusan, dan/atau pengesahan yang telah disahkan akan dianggap telah dikeluarkan oleh anda walaupun maklumat, arahan dan/atau pengesahan tersebut mungkin dikeluarkan oleh pihak ketiga, sama ada dibenarkan atau tidak, PGO akan menganggap bahawa Perkhidmatan tersebut telah diakses dengan sah dan Transaksi yang dilakukan adalah sah. PGO tidak akan melayan sebarang permintaan untuk membalikkan Transaksi yang disalahlaku sekiranya Transaksi tersebut telah disahkan melalui kaedah yang ditetapkan.
1.21 Anda boleh melihat sejarah Transaksi anda sehingga seratus lapan puluh (180) hari sebelumnya dengan melog masuk ke PahangGO eWallet. Anda hendaklah selalu log masuk ke dalam Aplikasi PahangGO eWallet untuk menyemak sejarah Transaksi anda dan untuk memastikan bahawa tidak ada sebarang Transaksi yang tidak dibenarkan. Anda hendaklah menyemak dan mengesahkan semua Transaksi anda termasuk jumlah dan maklumat penerima. Setelah menerima permintaan anda secara bertulis, PGO atas budi bicara mutlaknya boleh memberikan anda pernyataan Akaun tersebut, rekod dan butiran Transaksi anda secara fizikal dengan syarat, butiran-butiran yang diminta adalah berkaitan dengan Transaksi yang tidak melebihi tempoh enam (6) bulan.
1.22 Walauapapun yang terkandung dalam Terma-terma dan Syarat-syarat ini, PGO boleh menolak mana-mana arahan anda berkaitan dengan penggunaan Perkhidmatan tersebut atau sebarang Transaksi, jika:-
- Perkhidmatan tersebut melanggar mana-mana Terma-terma dan Syarat-syarat yang terkandung dinyatakan disini; atau
- PGO mengesyaki bahawa arahan mungkin dikeluarkan secara penipuan atau telah mengenalpasti bahawa penggunaan Perkhidmatan tersebut menimbulkan risiko kepada Sistem Pembayaran Mudah Alih.
1.23 Sekiranya Peranti Mudah Alih anda tidak menyokong teknologi yang berkenaan, anda mungkin tidak dapat menggunakan Perkhidmatan ini (atau mana-mana bahagiannya) atau mengakses laman web PGO atau mana-mana bahagiannya.
1.24 Anda tidak berhak untuk menerima apa-apa faedah atau keuntungan lain dalam apa jua cara sekalipun berhubung dengan Perkhidmatan ini.
1.25 PGO tidak membuat sebarang jenis representasi atau jaminan secara nyata atau tersirat berhubung dengan barang atau perkhidmatan yang menjadi subjek Transaksi termasuk, tetapi tidak terhad kepada, kualiti, kebolehdagangan, keselamatan, dan / atau kesahannya. Untuk mengelakkan keraguan, PGO tidak membuat jaminan atau pernyataan mengenai keuntungan mana-mana produk kewangan.
2. TANGGUNGJAWAB ANDA
2.1 Anda hendaklah:-
- memastikan bahawa anda akan menggunakan Akaun anda dan PahangGO eWallet sebagaimana sepatutnya terutamanya untuk pembayaran, pelaburan, dan untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan. Bagi mengelakkan sebarang keraguan, PahangGO eWallet disediakan kepada anda oleh PGO atas budi bicara tunggal dan mutlaknya untuk membolehkan anda melakukan Transaksi dan tidak boleh digunakan di luar penggunaan sebagaimana sepatutnya;
- memastikan bahawa anda telah memuat turun atau akan memuat turun aplikasi PahangGO eWallet daripada Google Play Store, Apple App Store, atau Huawei AppGallery. Anda tidak boleh memuat turun aplikasi PahangGO eWallet dari mana-mana sumber lain. Anda akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa-apa kerugian atau kerosakan yang mungkin anda alami dalam apa jua keadaan sekiranya anda melanggar syarat- syarat klausa ini;
- memastikan bahawa anda tidak menggunakan aplikasi PahangGO eWallet pada mana-mana peranti yang diubahsuai secara tidak sah seperti peranti jailbroken, peranti rooted atau mana-mana peranti yang telah diubah dalam apa jua cara sekalipun. Sekiranya anda menggunakan peranti sedemikian, PGO tidak akan bertanggungjawab sama sekali untuk apa-apa dan semua kerugian atau kerosakan yang mungkin anda alami termasuk tetapi tidak terhad kepada kerugian kewangan dan/atau maklumat;
- memastikan keserasian Peranti Mudah Alih anda dengan Sistem Pembayaran Mudah Alih. Sekiranya apa-apa perubahan atau peningkatan diperkenalkan kepada Sistem Pembayaran Mudah Alih, anda hendaklah memastikan keserasian berterusan Peranti Mudah Alih anda dan bertanggungjawab terhadap semua peralatan dan Aplikasi Mudah Alih yang perlu untuk penggunaan Perkhidmatan tersebut. Anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk integriti kesemua maklumat dan data yang dihantar, didedahkan dan/atau diperolehi melalui penggunaan Perkhidmatan tersebut atau yang disiarkan oleh anda atau sesiapa yang menggunakan Peranti Mudah Alih anda;
- menggunakan Perkhidmatan tersebut dengan suci hati, niat baik dan mematuhi Terma-terma dan Syarat-syarat dan semua undang-undang Malaysia yang berkaitan dengan Perkhidmatan tersebut, (termasuk tetapi tidak terhad kepada Kaedah dan Peraturan/Garis Panduan Bank Negara Malaysia (BNM), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Wang Tak Dituntut 1965, AMLATFPUAA) dan semua undang-undang subsidiari, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan, notis, arahan atau garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan, pihak berkuasa dan agensi-agensi kawal selia, dan/atau mana-mana notis, arahan, garis-garis panduan yang diberikan oleh PGO berkaitan dengan Perkhidmatan tersebut yang boleh dipinda dari semasa ke semasa; dan
- mengambil semua langkah-langkah yang munasabah untuk mencegah penipuan, penyalahgunaan dan penggunaan yang melanggar undang-undang Akaun dan/atau Perkhidmatan tersebut dan kecurian atau kehilangan Peranti Mudah Alih anda dan dengan serta-merta memberitahu pihak CSA kami setelah mengetahui bahawa adanya penipuan, penyalahgunaan atau penggunaan yang melanggar undang-undang, kecurian, kerugian, atau sebarang kejadian-kejadian lain yang menyalahi undang-undang. Anda hendaklah, jika diarahkan oleh PGO, membuat laporan polis berkenaan dengan kejadian tersebut dan memberikan PGO sesalinan laporan tersebut yang telah diakui sah.
2.2 Anda tidak boleh:-
- menggunakan Perkhidmatan tersebut untuk apa-apa tujuan yang bertentangan dengan kepentingan awam, ketenteraman awam atau keharmonian negara atau untuk apa-apa tujuan yang menyalahi undang-undang termasuk tetapi tidak terhad kepada maksiat, perjudian atau tujuan jenayah lain atau menghantar apa-apa kandungan yang menyinggung moral, agama, komunal atau alasan politik, atau yang menganiaya, memfitnah atau tidak senonoh, lucah atau bersifat mengancam atau dengan cara lain yang mungkin menyebabkan aduan, tuntutan, pertikaian, penalti atau liabiliti kepada PGO; dan
- menggodam, mengakses, mengganggu, melanggar atau memintas sebarang pengesahan atau keselamatan mana-mana pihak, rangkaian atau akaun PGO atau sistem komputer milik pembekal atau mengganggu perkhidmatan kepada mana-mana pengguna, hos atau rangkaian, termasuk, tanpa had, menghantar virus.
2.3 Anda mengakui bahawa Perkhidmatan tersebut adalah dan hendaklah kekal pada setiap masa milik PGO dan anda hendaklah:-
- melaksanakan semua penjagaan dan ketekunan wajar dalam penggunaan dan penyelenggaraan Akaun dan Perkhidmatan tersebut; dan
- tidak mengubah atau membenarkan sesiapa sahaja untuk mengubah Peranti Mudah Alih, Akaun tersebut dan/atau Perkhidmatan tersebut (termasuk, tetapi tidak terhad kepada, perisian dan data yang direkodkan dalam Sistem Pembayaran Mudah Alih) dalam apa-apa cara sekalipun. Mengubah data dalam Sistem Pembayaran Mudah Alih boleh menjadi satu kesalahan jenayah dan PGO tidak akan melunaskan sebarang Transaksi dan faedah, sekiranya Akaun dan/atau Perkhidmatan telah diubah. PGO berhak untuk mendapatkan semula semua kos, perbelanjaan, kehilangan dan kerugian yang munasabah yang ditanggung oleh PGO (termasuk semua perbelanjaan undang-undang yang munasabah) akibat daripada pengubahan atau gangguan anda atau dengan membenarkan pihak ketiga untuk mengubah atau mengganggu data pada Akaun anda dan/atau Perkhidmatan.
3. PRIVASI
3.1 Klausa 3 di sini hendaklah dibaca bersama dengan PGO Privacy Notice yang boleh didapati di laman sesawang PGO. Sekiranya terdapat ketidakselarasan, sebarang penafsiran atau pembinaan Klausa ini dan PGO Privacy Notice hendaklah dibaca bersama untuk memberi maksud komersial yang terbaik.
3.2 Anda bersetuju bahawa dengan mendaftar untuk Akaun tersebut, anda bersetuju untuk Maklumat Peribadi/Data anda digunakan dan/atau didedahkan mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
3.3 Maklumat Peribadi/Data yang diberikan oleh anda boleh disimpan dalam pangkalan data dan PGO boleh menggunakan, menyimpan, menganalisis dan memindah dan/ atau bertukar maklumat tersebut dengan semua orang yang dianggap perlu. PGO boleh menggunakan, mendedahkan kepada pihak ketiga dan memproses Maklumat Peribadi/Data anda yang telah diberikan oleh anda kepada PGO bagi tujuan-tujuan berikut:-
- memproses permohonan anda dan menyediakan anda dengan perkhidmatan/produk PGO termasuklah perkhidmatan dan produk daripada pembekal luar yang lain yang disediakan melalui PGO;
- untuk membolehkan komunikasi;
- mengurus hubungan anda dengan PGO dan Akaun tersebut;
- untuk tujuan pentadbiran dan perkara-perkara sampingan lain yang berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan yang berkaitan dengan PGO; dan
- menghantar kepada anda maklumat pemasaran, pengiklanan dan promosi berkenaan dengan produk/perkhidmatan yang PGO dan syarikat-syarikat bersekutu, syarikat-syarikat berkaitan dan pembekal/agen perkhidmatan pihak ketiga tawarkan atau yang mana PGO percaya boleh memberi kepentingan dan manfaat kepada anda. Di samping itu, syarikat yang berkaitan (related, affiliated and/or associated), peniaga dan rakan kongsi strategik kami mungkin menghubungi anda tentang produk, perkhidmatan dan tawaran, yang kami percaya mungkin menarik minat anda atau boleh memanfaatkan anda. Anda berhak untuk menarik diri daripada menerima mesej-mesej pemasaran ini. Sekiranya anda ingin menarik diri daripada menerima mesej-mesej pemasaran, sila layari laman profil anda didalam Aplikasi Mudah Alih dan ikuti arahan yang dinyatakan. Sekiranya anda tidak menarik diri daripada menerima mesej-mesej pemasaran ini, anda akan dianggap telah bersetuju untuk menerima mesej-mesej tersebut dari PGO, syarikat yang berkaitan (related, affiliated and/or associated), peniaga dan/atau rakan kongsi strategik kami.
3.4 PGO boleh memantau dan merekodkan kesemua Transaksi dan komunikasi yang boleh berlaku antara PGO dan anda untuk keperluan perniagaan PGO (termasuk tetapi tidak terhad kepada kawalan kualiti dan latihan, pencegahan penyalahgunaan sistem telekomunikasi PGO, memastikan keberkesanan operasi sistem dan pencegahan dan pengesanan jenayah).
3.5. Anda dengan ini bersetuju, membenarkan, dan mengizinkan PGO untuk mengekstrak, mendedahkan dan/atau melepaskan sebarang maklumat di dalam simpanan PGO yang berkaitan dengan anda (termasuk Maklumat Peribadi/Data anda), butir-butir Transaksi atau mana-mana akaun yang ditetapkan yang berkaitan dengan Transaksi atau apa-apa data lain yang diperlukan untuk tujuan penyiasatan sebarang tuntutan atau pertikaian yang timbul daripada atau berkaitan dengan Transkasi atau untuk digunakan sebagai bukti di mahkamah atau sekiranya disyaki ada penyalahgunaan Perkhidmatan tersebut. Anda dengan ini bersetuju bahawa sekiranya berlaku pertikaian atau sebarang tuntutan yang timbul berkenaan dengan mana-mana Transaksi, rekod-rekod Transaksi yang sedia ada daripada PGO hendaklah digunakan sebagai rujukan tunggal dan menjadi asas bagi penyelesaian pertikaian atau tuntutan itu. Akujanji dan kebenaran anda di bawah Klausa ini akan kekal terus selepas penamatan Perkhidmatan tersebut untuk tempoh tujuh (7) tahun.
3.6 Kelas pengguna yang mana PGO boleh mendedahkan Maklumat Peribadi/Data anda adalah seperti berikut:
- syarikat-syarikat yang berkaitan dengan PGO;
- Orang / Organisasi yang dikehendaki di bawah undang-undang atau di mana pendedahan diperlukan untuk tujuan pematuhan undang-undang yang berkaitan atau sebagai respons kepada permintaan pihak berkuasa yang berkaitan;
- Agensi kerajaan, badan berkanun, agensi penguatkuasaan di bawah undang- undang; dan
- kontraktor, pembekal perkhidmatan atau produk, perunding, juruaudit, akauntan, peguamcara dan penasihat PGO.
3.7 Anda juga bersetuju, membenarkan, dan mengizinkan PGO untuk menganalisasikan, mendedahkan, dan/atau melepaskan sebarang maklumat di dalam simpanan PGO yang berkaitan dengan anda dan sebarang data yang diperolehi darinya kepada pihak ketiga.
3.8 Maklumat Peribadi/Data yang diminta oleh PGO adalah mandatori di mana anda perlu berikan dan bersetuju dengan pemprosesan Maklumat Peribadi/Data tersebut. Sekiranya anda membuat keputusan untuk tidak memberikan mana-mana atau semua Maklumat Peribadi/Data yang diperlukan, PGO tidak dapat meneruskan dengan peruntukan Perkhidmatan.
3.9 Tertakluk kepada peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, anda mempunyai hak untuk mengakses Maklumat Peribadi/Data anda dengan meminta salinan Maklumat Peribadi/Data anda dan permintaan untuk membetulkan atau mengemaskini Maklumat Peribadi/Data anda. Anda berhak untuk menarik diri daripada memberikan persetujuan anda terhadap penggunaan dan/atau pendedahan Maklumat Peribadi/Data anda sepertimana dinyatakan di bawah Klausa 3 ini dan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Jika anda ingin menarik diri, sila menghubungi pihak CSA kami di talian +609-573 0492 atau mengemukakan permintaan kepada melalui aplikasi PahangGO eWallet. Harap maklum bahawa sekiranya anda memilih untuk tidak memberikan persetujuan anda, PGO tidak akan dapat untuk meneruskan dengan penyediaan Perkhidmatan tersebut kepada anda dan anda tidak akan dapat menggunakan Perkhidmatan ini.
3.10 PGO mengakui bahawa dokumen atau maklumat yang dikumpul oleh PGO daripada anda yang berkaitan dengan hal ehwal dan Akaun anda sebagai pelanggan PGO hanya akan digunakan dan/atau didedahkan mengikut peruntukan kerahsiaan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA).
4. PENAMATAN & PENANGGUHAN
4.1 Walauapapun yang dinyatakan didalam Terma-terma dan Syarat-syarat ini, PGO boleh dengan serta merta menukar prosedur atau cara operasi Perkhidmatan tersebut dengan memberikan anda notis dua puluh satu (21) hari terlebih dahulu bagi sebarang perubahan, tambahan atau penghapusan.
4.2 Sebagai tambahan kepada hak PGO di bawah Klausa 4.1, PGO juga berhak untuk menggantung atau menamatkan penggunaan Perkhidmatan tersebut (atau mana-mana bahagiannya, termasuk apa-apa manfaat di bawah Perkhidmatan tersebut) dan akses anda kepada Akaun tersebut serta merta atau mengambil sebarang tindakan yang perlu yang dianggap sesuai oleh PGO, dengan atau tanpa apa-apa notis kepada anda, apabila berlaku mana-mana kejadian berikut:-
- sekiranya pada pendapat PGO, terdapat ketidakjujuran, disyaki berlakunya penipuan, penyalahgunaan, tidak digunakan dengan niat baik, tidak digunakan sebagaimana sepatutnya, perlanggaran undang-undang, jenayah atau salah nyata dalam penggunaan Akaun tersebut atau dalam penggunaan Perkhidmatan tersebut oleh anda;
- sekiranya anda melanggar atau PGO mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa anda telah melanggar mana-mana peruntukan Terma- terma dan Syarat-syarat ini dan/atau mana-mana Terma-terma dan Syarat-syarat yang berkaitan dengan mana-mana perkhidmatan baru yang disediakan oleh PGO dari semasa ke semasa, atau terlibat dalam apa-apa kelakuan yang memudaratkan PGO atau jika pada pendapat PGO, perbuatan anda memudaratkan kepentingan PGO;
- sekiranya anda telah melanggar mana-mana undang-undang, statut, undang- undang kecil, kaedah dan/atau peraturan yang dikenakan oleh mana-mana pihak, badan kawal selia atau agensi kerajaan;
- sekiranya anda telah mengemukakan dokumen palsu atau telah mengisytiharkan maklumat palsu semasa permohonan anda untuk Perkhidmatan tersebut;
- sekiranya anda telah bertindak dengan niat buruk atau dengan niat jahat;
- jika anda telah disenarai hitam oleh institusi kewangan, bank berlesen atau penerbit e-wang di Malaysia atau di luar negara;
- jika anda berasal dari negara yang disekat (sanctioned) atau berisiko tinggi;
- jika anda termasuk dalam senarai amatan (watch list) dalaman kami;
- jika nama anda disenaraikan di bawah senarai amatan badan kawal selia (termasuk tetapi tidak terhad kepada senarai yang berkaitan dengan keganasan (terrorism) dan pembiayaan keganasan di bawah AMLATFPUAA);
- jika anda termasuk dalam Specially Designated Nationals (SDN), orang yang terdedah secara politik (PEP), atau senarai saudara-mara atau rakan rapat PEPs (RCA) atau sumber maklumat lain yang berkaitan dengan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, senarai amatan, atau pangkalan data berkaitan yang dikendalikan atau disediakan oleh pihak berkuasa domestik atau asing dari semasa ke semasa, termasuk tetapi tidak terhad kepada, Bank Negara Malaysia (BNM), United Nations Security Council Resolutions (UNSCR), Office of Foreign Assets Control (OFAC), and the Financial Action Task Force (FATF);
- jika anda atau Akaun anda telah dikesan melakukan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, penipuan, ketidakjujuran, haram dan aktiviti mencurigakan lain; dan/atau
- sekiranya anda gagal untuk memberikan apa-apa maklumat tambahan yang PGO boleh minta daripada anda dari semasa ke semasa.
4.3 Anda boleh, pada bila-bila masa, menamatkan Perkhidmatan tersebut dengan memberi notis penamatan sedemikian melalui aplikasi PahangGO eWallet sahaja. Sekiranya anda mempunyai sebarang Baki Sedia Ada dalam Akaun tersebut, anda perlu memastikan bahawa anda telah memberikan PGO butiran akaun bank yang betul dan apa-apa maklumat yang lain sebagaimana yang dikehendaki oleh PGO untuk membolehkan PGO memproses penamatan Perkhidmatan tersebut dan membayar balik Baki Sedia Ada ke dalam akaun bank anda dalam tempoh tiga puluh (30) hari bekerja. Sekiranya anda tidak mempunyai apa-apa Baki Sedia Ada dalam Akaun tersebut, Perkhidmatan tersebut akan dianggap sebagai tamat sebaik sahaja penerimaan notis penamatan oleh PGO melalui aplikasi PahangGO eWallet.
5. AKIBAT PENAMATAN / PENANGGUHAN
5.1 Selepas penamatan Perkhidmatan tersebut oleh PGO menurut Klausa 4.2, PGO akan memberitahu anda berkenaan penamatan tersebut dimana, anda perlu memastikan bahawa anda telah memberikan PGO butiran akaun bank yang betul dan apa-apa maklumat yang lain sebagaimana yang dikehendaki oleh PGO untuk membolehkan PGO membayar balik Baki Sedia Ada ke dalam akaun bank anda dalam tempoh tiga puluh (30) hari bekerja selepas penerimaan maklumat bank yang betul dan apa-apa maklumat yang lain yang diperlukan oleh PGO.
5.2 Sekiranya PGO menamatkan atau menggantung Perkhidmatan tersebut atau mana- mana bahagiannya menurut Klausa 4, PGO akan mengembalikan Baki Sedia Ada jika kelulusan telah diperolehi daripada pihak berkuasa yang berkaitan, jika berkenaan.
5.3 PGO tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang dialami oleh anda atas sebab pemberian sebarang maklumat perbankan yang tidak betul oleh anda.
5.4 Peruntukan Klausa 5 ini tidak menjejaskan hak dan remedi PGO yang lain di bawah Terma- terma dan Syarat-syarat ini atau di sisi undang-undang.
6. PENGAKTIFAN SEMULA
6.1 Sekiranya Akaun tersebut dan/atau Perkhidmatan tersebut telah digantung dan anda meminta untuk mengaktifkannya semula, PGO boleh mengikut budi bicara mutlaknya mengaktifkan semula Akaun tersebut.
7. BAYARAN BALIK ATAU PELARASAN DISEBABKAN OLEH KESILAPAN
7.1 Sekiranya anda menemui apa-apa kesilapan atau percanggahan dalam Akaun anda, anda mesti menghubungi pihak CSA dalam masa tiga puluh (30) hari dari tarikh transaksi yang dipertikaikan, sekiranya anda gagal berbuat sedemikian, anda dianggap telah menerima ketepatan Transaksi anda. Sekiranya penyiasatan PGO mendapati bahawa Transaksi yang dipertikaikan sesungguhnya dibuat dengan kesilapan, PGO akan membayar balik jumlah yang dipertikaikan secara terus kepada Akaun anda apabila selesai siasatan yang mana tidak akan melebihi tiga puluh (30) hari dari pengesahan aduan anda. PGO berhak untuk tidak membayar balik sebarang jumlah yang dipertikaikan kepada anda sekiranya PGO percaya bahawa anda telah melakukan perkara yang bertentangan dengan Terma-terma dan Syarat- syarat ini.
7.2 Walau apa pun yang bertentangan yang terkandung di sini, sebarang bayaran balik oleh PGO tidak akan bermaksud penyiapan siasatan. PGO mungkin membayar balik jumlah sedemikian kepada Akaun anda berdasarkan keputusan siasatan awal. Selepas penyiapan siasatan penuh, jika ia didapati bahawa anda tidak berhak kepada bayaran balik, PGO boleh, dalam budi bicara sendiri, sama ada menolak jumlah yang dibayar balik daripada Akaun anda atau menuntut jumlah sedemikian dari anda.
7.3 Sekiranya apa-apa jumlah yang salah telah dipotong dari Akaun anda, PGO berhak untuk membuat apa-apa pelarasan atau potongan dari Akaun anda seperti yang diperlukan.
7.4 Walau apa pun kaedah bayaran balik yang ditetapkan seperti di atas, PGO adalah tertakluk kepada polisi dan pekeliling yang ditetapkan oleh kerajaan bagi perkhidmatan yang berkaitan dengan agensi kerajaan di dalam aplikasi PahangGO eWallet. PGO berhak untuk tidak membayar balik sebarang jumlah yang dipertikaikan kepada anda dan anda perlu merujuk dengan agensi yang terlibat untuk rundingan lanjut.
8.1 Perkhidmatan ini disediakan berdasarkan kepada asas "sebagaimana adanya" (“as is”) dan "sebagaimana tersedia" (“as available”). PGO menafikan semua liabiliti dan tidak membuat sebarang jenis representasi atau jaminan secara nyata atau tersirat berhubung dengan Perkhidmatan tersebut termasuk tetapi tidak terhad kepada:-
- ketersediaan, kebolehcapaian, ketepatan masa dan penggunaan tanpa gangguan Perkhidmatan tersebut; dan
- turutan, ketepatan, kesempurnaan, ketepatan masa atau keselamatan mana- mana data, maklumat yang diberikan kepada anda sebagai sebahagian daripada Perkhidmatan tersebut.
8.2 PGO akan menggunakan usaha yang munasabah untuk memastikan bahawa Perkhidmatan tersebut adalah selamat dan tidak boleh diakses oleh pihak ketiga yang tidak dibenarkan.
8.3 Anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk sebarang dan semua akibat penggunaan atau penyalahgunaan Akaun, maklumat log masuk, dan/atau maklumat keselamatan anda. Anda akan bertanggungjawab terhadap semua kerugian dan pembayaran (termasuk apa-apa jumlah transaksi yang dilakukan tanpa kebenaran anda) disebabkan oleh kecuaian anda atau di mana anda bertindak secara penipuan. Untuk tujuan klausa ini, kecuaian akan dianggap untuk termasuk kegagalan untuk mematuhi mana-mana tugas keselamatan anda yang dinyatakan dalam Terma- terma dan Syarat-syarat ini.
8.4 Walaubagaimanapun, anda tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian yang disebabkan oleh gangguan sistem, ralat teknikal atau sebarang masalah operasi lain yang berlaku di PGO, pengendali tol, pedagang, peniaga, atau pihak berkaitan yang terlibat dalam penyediaan Perkhidmatan ini.
8.5 PGO tidak bertanggungjawab kepada anda dan/ atau kepada mana-mana pihak ketiga yang lain untuk apa-apa kos, kehilangan atau ganti rugi (sama ada secara langsung atau tidak langsung), atau untuk kehilangan pendapatan, kehilangan keuntungan atau apa-apa kerugian berbangkit sama sekali daripada penggunaan Perkhidmatan tersebut anda termasuk tetapi tidak terhad kepada:-
- Akaun anda digodam dan/atau kecurian maklumat log masuk, dan/atau maklumat keselamatan anda; dan/atau
- apa-apa pertikaian yang timbul antara anda dan peniaga PGO berkenaan dengan sebarang aspek, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, isu-isu yang berkaitan dengan kualiti, kebolehdagangan, memenuhi tujuan untuk kegunaan, kuantiti, atau penghantaran; dan/atau
- yang disebabkan oleh pelaksanaan hak PGO mengikut Terma-Terma dan Syarat-Syarat ini dan / atau yang timbul dari keingkaran anda.
8.6 Walau apa pun yang bertentangan yang terkandung di sini, had maksimum liabilitiakan ditetapkan berdasarkan kepada garis panduan e-Wang daripada Pihak Berkuasa Pengawalselia dan tertakluk kepada semakan dari semasa ke semasa.
9. TANGGUNG RUGI
9.1 Anda akan menanggung rugi dan akan sentiasa memastikan PGO ditanggung rugi daripada apa-apa kerugian, kerosakan, liabiliti atau perbelanjaan, yang timbul daripada apa-apa tuntutan untuk libel, pencerobohan privasi, pelanggaran hak cipta, paten, pelanggaran keyakinan atau kerahsiaan atau pelanggaran mana-mana undang-undang atau apa-apa peraturan yang timbul daripada pelanggaran mana-mana Terma-terma dan Syarat-syarat ini, daripada penggunaan Akaun dan Perkhidmatan tersebut, daripada kandungan yang dihantar, diterima atau disimpan melalui Perkhidmatan tersebut atau sebahagian daripadanya dan untuk semua tuntutan lain yang timbul daripada apa-apa tindakan atau pengabaian penggunaan anda atau apa-apa penggunaan yang tidak dibenarkan atau eksploitasi Perkhidmatan tersebut atau sebahagian daripadanya.
9.2 Anda dengan ini bersetuju untuk menanggung rugi sepenuhnya dan tidak akan membahayakan PGO daripada dan terhadap apa-apa tuntutan yang dibawa oleh pihak ketiga yang terhasil daripada penggunaan Akaun tersebut, Perkhidmatan tersebut dan laman web PGO dan berkenaan dengan semua kerugian, kos, tindakan, prosiding, tuntutan , ganti rugi, perbelanjaan (termasuk kos dan perbelanjaan undang-undang yang munasabah), atau liabiliti, sebagaimana pun yang dialami, atau ditanggung secara langsung atau tidak langsung oleh PGO berikutan dengan penggunaan Akaun, Perkhidmatan dan laman web PGO tersebut, dan/atau pelanggaran atau ketidakpatuhan anda terhadap mana-mana Terma-terma dan Syarat-syarat ini dan/atau mana-mana terma-terma dan syarat-syarat yang berkaitan dengan mana-mana perkhidmatan baru yang PGO boleh sediakan dari semasa ke semasa.
9.3 Anda akan mempertahankan dan membayar semua kos, ganti rugi, awad, fi (termasuk apa-apa yuran guaman yang munasabah) dan penghakiman yang diberikan terhadap PGO yang timbul daripada tuntutan di atas, dan hendaklah memberi kepada PGO berkenaan notis tuntutan-tuntutan tersebut, kuasa penuh untuk mempertahankan, membuat kompromi atau menyelesaikan tuntutan-tuntutan tersebut, dan bantuan yang munasabah yang diperlukan untuk mempertahankan tuntutan tersebut, atas perbelanjaan anda sendiri.
10. UNDANG-UNDANG MENTADBIR
10.1 Terma-terma dan Syarat-syarat ini adalah ditadbir dan ditafsirkan menurut undang- undang Malaysia, dan anda dengan ini tertakluk kepada bidang kuasa eksklusif mahkamah-mahkamah di Kuala Lumpur.
11. FORCE MAJEURE
11.1 Tanpa menghadkan keumuman mana-mana peruntukan dalam Terma-terma dan Syarat- syarat ini, PGO tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa kegagalan untuk melaksanakan kewajipannya disini yang disebabkan oleh kuasa Tuhan, pemberontakan atau gangguan awam, operasi ketenteraan atau tindakan pengganas, semua kecemasan, tindakan atau pengabaian Kerajaan, atau mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa, masalah buruh atau apa- apa jenis pertikaian, kebakaran, kilat, penenggelaman, letupan, banjir, tindakan atau pengabaian oleh orang atau badan yang mana PGO tidak mempunyai kawalan atau atas sebarang sebab di luar kawalan PGO yang munasabah.
11.2 Perkhidmatan ini kadangkala boleh dipengaruhi oleh gangguan yang disebabkan oleh objek di luar kawalan PGO seperti bangunan, laluan bawah tanah dan keadaan cuaca, gangguan elektromagnet, kegagalan peralatan atau kesesakan dalam Sistem Pembayaran Mudah Alih. Sekiranya berlaku gangguan tersebut, PGO tidak akan bertanggungjawab terhadap ketidakupayaan untuk menggunakan atau mengakses Perkhidmatan tersebut atau gangguan Perkhidmatan tersebut.
12. PINDAAN DAN PENGUBAHSUAIAN TERMA-TERMA DAN SYARAT-SYARAT
12.1 PGO berhak mengikut budi bicara mutlaknya, dari semasa ke semasa, untuk mengubah, menambah, memadam atau meminda mana-mana Terma-terma dan Syarat-syarat ini atau mana-mana bahagiannya dengan memberikan anda notis dua puluh satu (21) hari terlebih dahulu bagi sebarang perubahan, tambahan atau penghapusan. Jika anda terus menggunakan Perkhidmatan tersebut selepas tarikh efektif mana-mana perubahan, penambahan, pemadaman atau pindaan kepada Terma-terma dan Syarat-syarat ini, anda telah menerima tanpa syarat perubahan, penambahan, pemadaman atau pindaan tersebut. Anda dinasihatkan untuk melayari laman web PGO dari semasa ke semasa untuk sentiasa mengemaskini diri sendiri tentang variasi Terma- terma dan Syarat-syarat terkini (jika ada).
12.2 Fi dan pembayaran yang dikenakan oleh PGO menurut Terma-terma dan Syarat-syarat ini boleh berubah dari semasa ke semasa. PGO akan memberitahu anda tentang sebarang perubahan terhadap yuran dan pembayaran yang dikenakan oleh PGO dengan memberikan tidak kurang daripada dua puluh satu (21) hari notis sebelum tarikh kuat kuasa terhadap perubahan kepada yuran dan pembayaran.
13. PERKHIDMATAN BARU
13.1 PGO boleh, atas budi bicara tunggal dan mutlaknya, memberikan anda perkhidmatan baru dari semasa ke semasa, dan perkhidmatan baru tersebut akan ditadbir oleh kesemua Terma-terma dan Syarat-syarat yang berkenaan dengan perkhidmatan baru itu.
14. AKTA PENCEGAHAN PENGUBAHAN WANG HARAM, PENCEGAHAN PEMBIAYAAN KEGANASAN DAN HASIL DARIPADA AKTIVITI HARAM 2001 (AMLATFPUAA) & AKTA PERKHIDMATAN KEWANGAN 2013 (FSA).
14.1 PGO mengakui bahawa dokumen atau maklumat daripada anda yang dikumpul oleh PGO berkenaan dengan hal ehwal atau akaun sebagai pelanggan PGO akan hanya digunakan dan/atau didedahkan selaras dengan peruntukan kerahsiaan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA).
14.2 PGO, anak-anak syarikat dan pegawai-pegawainya hendaklah mematuhi kesemua aspek berkenaan dengan semua undang-undang, peraturan, garis panduan dan dasar yang berkaitan AMLATFPUAA, termasuklah semua Peraturan-Peraturan dan Kaedah- Kaedah.
14.3 Tanpa menghadkan keumuman yang disebutkan di atas, setakat mana yang dikehendaki oleh AMLATFPUAA, PGO hendaklah:
- mengekalkan program pencegahan pegubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan yang mematuhi, dalam semua aspek material, dengan AMLATFPUAA;
- dalam semua aspek material, bertindak dengan ketekunan wajar yang diperlukan di bawah AMLATFPUAA berkaitan dengan penggunaan Akaun tersebut, termasuk berkenaan dengan asal usul wang yang digunakan oleh anda untuk menambah nilai Akaun tersebut; dan
- mengekalkan maklumat yang mencukupi untuk mengenal pasti anda bagi tujuan pematuhan, dalam semua aspek material, dengan AMLATFPUAA.
14.4 Sekiranya Akaun anda dihentikan, ditamatkan atau digantung oleh PGO disebabkan oleh transaksi penipuan, menyalahi atau tidak sah dari segi undang-undang termasuk tetapi tidak terhad kepada pelanggaran mana-mana undang-undang (termasuk tetapi tidak terhad kepada Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan/atau AMLATFPUAA atau apa-apa peraturan dan/atau garis panduan yang dibuat di bawahnya), anda tidak berhak untuk mendapatkan apa sahaja wang bayaran balik atas sebarang wang dalam Akaun anda dan PGO boleh menyimpannya bagi tempoh yang tidak ditentukan atau melepaskan kesemua wang dalam Akaun anda kepada pihak berkuasa yang berkenaan mengikut undang-undang, peraturan dan/atau garis panduan yang berkenaan. Anda tidak berhak menuntut apa-apa bentuk pampasan bagi apa-apa kehilangan yang timbul darinya daripada PGO.
15. HAK HARTA INTELEK
15.1 Segala cap dagangan dan hak harta intelek yang digunakan berhubung dengan Perkhidmatan tersebut adalah kepunyaan PGO.
15.2 Anda mengakui dan bersetuju bahawa semua cap dagangan dan hak harta intelek lain yang berkaitan dengan Perkhidmatan tersebut atau mana-mana bahagiannya, sama ada dikemukakan kepada anda oleh PGO, pengiklan atau mana-mana pihak ketiga adalah dilindungi oleh hak cipta, cap dagangan, cap perkhidmatan, paten, atau lain-lain hak proprietari dan undang-undang dan dan semua hak-hak PGO di dalamnya terpelihara dengan jelas disini.
16. PENYAMPAIAN NOTIS
16.1 PGO boleh, menurut budi bicaranya sendiri, memberikan notis di bawah Terma-terma dan Syarat-syarat ini dengan menyiarkan notis tersebut di laman web PGO atau mana- mana talian atau medium lain-lain yang mana PGO boleh memperkenalkan dari semasa ke semasa.
17. PENGASIANGAN DAN KESAN TERMA-TERMA DAN SYARAT-SYARAT
17.1 Jika mana-mana peruntukan yang terkandung di dalam ini tidak sah, menyalahi undang- undang atau tidak boleh dikuatkuasakan di bawah mana-mana undang-undang yang terpakai, kesahihan dan penguatkuasaan peruntukan yang selebihnya tidak akan memberi kesan atau menjejaskan dalam apa cara sekalipun dan mana-mana peruntukan yang tidak sah, menyalahi undang-undang atau tidak boleh dikuatkuasakan akan dianggap terbatal.
18. PENEPIAN
18.1 Kegagalan PGO untuk melaksanakan sebarang hak atau peruntukan Terma-terma dan Syarat-syarat ini tidak akan menjadi pengabaian hak atau peruntukan tersebut, melainkan jika diakui dan dipersetujui oleh PGO secara bertulis.
19. PENYERAHAN HAK
19.1 Anda tidak boleh menyerah hak atau dengan cara lain memindahkan hak atau kewajipan anda di bawah Terma-terma dan Syarat-syarat ini atau sebahagian daripadanya. PGO boleh menyerahhak Terma-terma dan Syarat-syarat ini secara keseluruhan atau sebahagiannya kepada mana-mana pihak ketiga mengikut budi bicaranya.
20. KESAN MENGIKAT (BINDING EFFECT)
20.1 Terma-Terma dan Syarat-Syarat ini akan mengikat pengganti hakmilik dan penerima hak yang dibenarkan Anda. Terma-Terma dan Syarat-Syarat ini akan mengikat dan untuk faedah dan manfaat pengganti hakmilik dan penerima hak PGO.
21. PERTANYAAN ATAU ADUAN
21.1 Untuk maklumat lanjut, pertanyaan atau aduan mengenai Perkhidmatan tersebut, anda boleh menghubungi pihak CSA di +609-573 0492.
21.2 Sekiranya balasan kepada pertanyaan atau aduan anda tidak memuaskan kepada anda, anda boleh menghubungi badan berikut:-
Bank Negara Malaysia
Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK)
4th Floor, Podium
Bangunan AICB
No. 10 Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
Pusat Hubungan (BNMTELELINK)
Tel : 1-300-88-5465 (Antarabangsa: 603-2174-1717)
Faks : 603-2174-1515
Laman Web: bnm.gov.my/BNMLINK
Pusat Hubungan (FINEXUS CARDS SDN BHD)
Tel : 603-4051-9911
Faks : 603-4051-9901
Emel : info@finexuscards.com
Pusat Hubungan (FINANCIAL MARKETS OMBUDSMAN SERVICE (FMOS))
Tel : 603-2272-2811
Laman Web : https://www.fmos.org.my/en/contact-us/
[Pengakhiran kepada Terma-terma dan Syarat-syarat – Versi Bahasa Malaysia]